Monday, September 28, 2009

Satu Malaysia

Seperti rakan-rakan yang lain juga (saya percaya) , saya suka dengan slogan satu Malaysia, One Malaysia. Saya suka rakyat Malaysia bersatu, satu hati satu semanat satu tekad satu hasrat, bersama-sama mencipta kejayaan. Kita bantu-membantu, tolong menolong, gunakan kelebihan masing-masing untuk berganding bahu memcipta kejayaan dan kecemerlangan. Tidak kira kita orang India (Malaysian Indians), Cina, Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli, Orang Jawa, atau apa saja, selagi kita cintakan negara ini, kita patut berbaik-baik dan bekerjasama memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bangsa Malaysia bangsa kita. Bersatulah wahai anak watan. Ini tanah tumpah darah kita. Majulah negaraku.

Mendisiplin Diri

Tajuk ini ringkas, tapi percayalah penghayatannya akan memberi faedah amat besar dalam kehidupan, baik kehidupan dunia mahupun kehidupan selepas mati (akhirat). Kita tidak dapat hidup hingga ke hari ini jika kita tidak mendisiplinkan diri dalam banyak aspek. Tetapi, memang benar bahawa kita mampu menjadi orang yang lebih baik, lebih berjaya, lebih bahagia, jika kita telah mendisiplinkan diri dalam beberapa hal. Ada antara kita yang sudah berpuas hati dengan pencapaian hari ini, baguslah. Alhamdulillah. Ada juga yang belum berpuas hati. Ada yang inginkan kehidupan lebih baik, kejayaan lebih besar, bebas dari belenggu masalah, ingin berjaya dalam pelajaran, kerana selama ini selalu gagal peperiksaan, dan seribu satu macam masalah lagi. Apakah penyelesaian semua itu? Salah satu langkah terbaik, pada pendapat saya ialah dua perkataan ini, DISIPLINKAN DIRI.
Belajarlah mendisiplinkan diri. Tiada kejayaan besar tanpa pengorbanan. Anda ingin berjaya, anda perlu bersusah payah sedikit demi kejayaan yang amat manis akhirnya. Patuhi undang-undang Tuhan, patuhi peraturan dan undang-undang di tempat kerja, ikutlah jadual anda walau apa pun bidang yang anda ceburi. Seorang pelajar harus kuat mendisiplinkan diri, mengelakkan dan menjauhkan unsur-unsur yang melalaikan serta mengikat diri bukan pada jam dinding tapi pada prinsip. Jika prinsip kita kuat, prinsip kita betul, prinsip kita jelas, kita tidak akan kalah dengan ajakan-ajakan yang melalaikan, yang hanya membuang masa. Nah, sekarang fikir balik apa pegangan kita, dengan apa kita berpandu. Jika sampai hari ini tak tahu matlamat hidup atau tiada cita-cita, betulkan hala tuju anda. Kalau tidak anda hanya membuang masa hidup di dunia ini, sedangkan di sana kita pun tak tahu nasib kita.
Disiplinkan diri anda. Lakukan tugas anda sewajarnya. Saya seorang Islam, maka saya mesti beramal dengan ajaran Islam, kalau tidak hidup saya sia-sia. Saya juga seorang ketua keluarga, saya mesti bertanggungjawab memastikan kesejahteraan dan kejayaan ahli keluarga saya, di dunia dan di akhirat. Saya juga seorang guru, saya mesti ikhlas mendidik murid-murid saya, sebagaimana guru-guru saya dahulu telah mendidik saya hingga saya berjaya ke menara gading, begitulah saya perlu berusaha agar murid-murid saya berjaya dalam pelajaran, seramai mungkin dan sebaik mungkin. Kepada rakan-rakan guru, saya harap kita jangan putus asa dengan masalah disiplin murid hari ini. Masalah ini boleh diatasi dengan kebijaksanaan, kerjasama dan kesungguhan. Dalam apa perkara sekalipun, tidak harus berhenti berusaha. Seorang yang menaiki basikal tidak akan jatuh kecuali dia berhenti mengayuh. Selamat meneruskan tugas. Allah bersama orang-orang yang sabar.