Friday, December 25, 2009

Selamat Datang 2010

Tahun baru 2010 kini di ambang pintu. Selamat tahun baru buat semua. Hujung Disember 2009 penuh dengan paparan cuaca buruk dan bencana alam di banyak tempat di seluruh dunia. Ribut salji turun di banyak tempat seperti di mid west america. Masih segar di ingatan saya kesejukan musim dingin (winter) di wisconsin, USA, dekat dengan Great Lakes, empat jam perjalanan memandu kereta dari Chicago, Illinois. Saya menuntut di University of Wisconsin-Green Bay pada tahun 1980an. Di manakah agaknya sahabat-sahabat saya ketika itu sekarang ini.. Sudah bertahun berlalu tentu mereka telah berjaya membina kehidupan masing-masing.
Tahun baru selalu seiring dengan semangat baru, resolusi baru, azam baru. Selalunya azam itu azam yang baik-baik. Antara yang penting untuk mencapai perubahan diri mejadi lebih baik, pada pendapat saya, adalah termasuk yang berikut:
1. Belajar dari kesilapan.
Hidup manusia tak lari dari kesilapan. Kegagalan bukan bermakna kebodohan. Sekali gagal bukan bermakna gagal selamanya. Orang yang bijak belajar dari kegagalan atau kesilapan. Renungkan kembali apakah kesilapan yang telah anda lakukan, aspek apakah yang anda telah dianggap gagal. Nah, fokus anda untuk 2010 ialah membetulkannya, mengubah kegagalan menjadi kejayaan.
2. Kejayaan silam jadikan penyuntik semangat.
Kalau kita pernah cemerlang di masa yang lalu, kita tetap mampu lebih cemerlang di masa depan. Tentu dalam beberapa episod hidup kita, kita berjaya dalam beberapa bidang. Ingat kembali saat dan ketika di masa semangat kita begitu tinggi, nama kita menjadi bintang, kepuasan begitu terasa.
3. Jadilah orang yang positif.
Selagi kita berterusan bersikap negatif, sukar untuk mencipta jaya. Buang jauh-jauh sifat malas, buruk sangka, tiada keyakinan, tidak bertanggungjawab, tidak amanah, dan sebagainya.
4. Berpeganglah pada agama.
Agama memimpin manusia ke arah kejayaan. Bagi saya, Islam adalah cara hidup, bukan sekadar tentang bersembahyang atau berpuasa atau pergi haji sahaja. Amalkan agama, kita akan berjaya.
5. Matlamat kita untuk Orang-orang yang kita sayangi juga.
Jangan lupakan orang yang selama ini hidup bersama anda. Jangan lupakan keluarga anda. Mereka kesayangan kita dan mereka tanggungjawab kita.